Satu hakikat yang mesti diakui dan diimani oleh setiap
muslim ialah "dunia adalah ujian". Jika dunia bukan ujian, pastilah
para kekasih Allah dalam kalangan para nabi dan rasul hidup dalam keadaan mewah
dan bersenang-lenang. Akan tetapi pada hakikatnya para nabi dan rasul
menghadapi segala macam rintangan dan dugaan dalam kehidupan ini dalam usaha
mereka mengajak manusia mentauhidkan Allah.
Sebagai contohnya ialah nabi Nuh a.s
telah ditentang oleh keluarga dan kaumnya sendiri dan dituduh gila, nabi
Ibrahim a.s telah dibakar oleh Namrud, nabi Musa a.s dizalimi
Fir'aun yang mengaku sebagai tuhan, nabi 'Isa hidup penuh kefakiran dan diancam
bunuh dan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW ditentang dengan begitu hebat
oleh kaum Quraisy serta diancam bunuh. Sejarah kehidupan para nabi dan rasul
bukan dipenuhi keseronokan dan keindahan, malah dipenuhi onak dan ranjau di
sepanjang jalan. Namun, mereka menerimanya sebagai cabaran dalam mengejar
destinasi cinta yang abadi iaitu cinta kepada Ilahi.
Kita tinggalkan sebentar kisah para nabi dan rasul a.s. Cuba
kita lihat di sekeliling kita. Setiap rakan yang kita kenali pasti ada masalah
di sebalik kebahagiaan mereka. Masalah anak, mertua, jiran, kerjaya dan
lain-lain lagi. Malah jika yang kelihatan mewah dan senang jika diselidiki
mungkin lebih banyak masalah yang ditanggungnya. Setiap orang ada masalahnya.
Kadang-kadang semakin lama semakin banyak masalah. Belum selesai satu masalah
timbul pula masalah lain pula.
Rupa-rupanya bukan kita sahaja yang menghadapi masalah.
Ramai juga orang yang bermasalah tetapi sabar menghadapinya hingga tidak
kelihatan pada riak mukanya. Mungkin masalah yang dihadapinya lebih besar
daripada masalah kita. Kita mungkin menghadapi masalah kenakalan anak,
dia mungkin tidak pernah memiliki walau seorang anak atau anaknya terlebih
dahulu dijemput Ilahi. Kita mungkin tidak berkereta yang selesa, namun dia
mungkin hanya bermotosikal. Kita mungkin tidak memiliki rumah besar, dia mungkin
menyewa dari sebuah rumah ke sebuah rumah. Kita mungkin menghadapi masalah jauh
dari tempat kerja, dia mungkin hilang pekerjaan. Kita mungkin hilang kerjaya,
dia mungkin terlantar di katil bergantung hidup pada orang . . .
Itulah hakikat dunia. Janganlah hanya memandang kepada orang
yang lebih bertuah dari kita. Pandanglah juga mereka yang lebih bernasib buruk
dari kita, semoga ia akan menimbulkan keinsafan di dalam diri kita. Teladanilah
Rasulullah SAW dalam menghadapi ujian yang berat dalam hidup baginda kemudian
suluhi diri kita dengan suluhan nabawi.
Rasulullah SAW pernah dibuang kekotoran di atas kepalanya,
dilukai muka dan kakinya serta dipatahkan giginya, dipulau sehingga terpaksa
memakan daun-daun kering, diusir dari Makkah kampung halaman, difitnah
isterinya, dibunuh empat puluh sahabatnya yang dalam perjalanan berdakwah,
kematian anak-anaknya, dihimpit kelaparan sehingga terpaksa mengikat perutnya,
dituduh sebagai penyair gila dan ahli sihir. . . Begitulah juga para sahabat
baginda, Umar, Uthman dan Ali mati dibunuh, para solihin yang memperjuangkan
Islam ramai yang mati dibunuh dan menghabiskan sisa hidup di dalam penjara.
Siapalah kita berbanding mereka? Adakah masalah yang kita hadapi selama ini
lebih besar daripada ujian mereka? Kita hanya perlukan sedikit kesabaran
berbanding mereka. Kesabaran dalam menempuh karenah dunia untuk hidup sebagai
seorang muslim yang bahagia di dunia dan juga tentunya di akhirat nanti.
Firman Allah SWT bermaksud:
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk
syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah
berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa
kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan
(oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah rasul dan orang yang beriman
bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah
sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang
teguh kepada ugama Allah). (Surah al-Baqarah 2: 214)
No comments:
Post a Comment